Wednesday, 11 June 2014

Malaria

Pengenalan
Malaria adalah sejenis penyakit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat awal. Penyakit Malaria masih lagi terdapat di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Penyakit Malaria tidak akan sembuh jika dirawat menggunakan ubat tradisional. Penyakit ini hanya boleh disembuhkan jika dirawat menggunakan ubat khusus yang boleh didapati di klinik-klinik kesihatan atau hospital.


Penyakit Malaria juga dikenali sebagai Demam Kura atau Demam Ketar. Penyakit ini disebabkan oleh sejenis kuman atau parasit yang dikenali sebagai Plasmodium. Kuman atau parasit ini dibawa oleh nyamuk Tiruk / Anoephelus.


                                                              Nyamuk Tiruk (Anoephelus)
Mengenali Nyamuk Tiruk

Nyamuk Tiruk biasanya menggigit manusia pada waktu malam. Jika nyamuk ini menggigit pesakit Malaria, bukan sahaja darah yang dihisap tetapi juga parasit Malaria yang terdapat di dalam tubuh pesakit. Apabila nyamuk tadi menggigit orang yang sihat, parasit Malaria yang ada di dalam tubuhnya akan dipindahkan ke dalam badan orang yang sihat tersebut. Dengan demikian, orang yang sihat tadi akan mendapat penyakit Malaria.




Perkembangan Penyakit



Kitar hidup parasit malaria bermula apabila seekor nyamuk betina Anophles mengigit manusia yang telah menghidap penyakit malaria. Nyamuk akan menghisap darah yang mengandungi parasit malaria peringkat mikrogametosit dan makrogametosit. Seterunya ia memasuki kelenjar liur nyamuk. Makrogametosit dan mikrogametosit malaria ini akan bersenyawa didalam lambung perut nyamuk dan akan matang daripada peringkat zigot ke ookinate dan membesar ke peringkat Oocyst. Oocyst ini akan matang dan pecah dan mengeluarkan sporozoit. Sporozoit akan bepindah ke kelenjar liur nyamuk. Apabila nyamuk ini kembali menggigit manusia, sporozoit ini akan memasuki sistem peredaran darah manusia dan memasuki hati untuk berkembang biak di dalamnya.

Plasmodium vivax dan Plasmodium ovale akan berada di dalam sel hati dalam 1 tempoh masa (hipnozoit) dan secara periodic ia akan melepaskan parasit yang matang kedalam aliran darah sehingga menyebabkan gejala-gejala malaria.Plasmodium falciparum dan plasmodium malariae akan keluar dari hati. Jika pesakit tidak dirawat, parasit Plasmodium falciparum ini akan kekal berada didalam aliran darah sehingga berbulan-bulan lamanya dan Plasmodium malariae pula akan berada di dalam aliran darah sehingga bertahun-tahun lamanya dan akan mengakibatkan gejala malaria yang berulang. Gejala biasanya mulai timbul dalam tempoh masa 10-35 hari setelah sporozoit parasit masuk kedalam tubuh badan manusia daripada gigitan nyamuk..gejala awal adalah demam ringan yang hilang timbul, sakit kepala, sakit otot, dan menggigil diikuti dengan malaise. Kadangkala permulaan gejala adalah menggigil dan diikuti dengan demam. Malaria falciparum boleh megakibatkan serebral malaria dengan simptom demam 40°C, sakit kepala yang teruk, delirium. Ia boleh mengakibatkan kematian. Bagi semua jenis malaria, bilangan sel darah putih adalah normal tetapi jumlah limfosit dan monosit meningkat. Jika tidak dirawat, ia akan mengakibatkan jaundis dan hepatomegali dan spleenomegali.


Tanda-tanda Demam Malaria



Cara Mengesan Parasit

Penyakit malaria senang dikesan. Sekiranya mempunyai tanda-tanda Demam Malaria, segera ke klinik kesihatan. Setitik darah daripada jari akan diambil dan diletakkan di atas slaid kaca untuk diuji parasit Malaria. Sekiranya parasit ini terdapat di dalam darah, seseorang itu sudah dijangkiti Demam Malaria. 

Rawatan Demam Malaria

Jika seseorang itu disahkan menghidap Malaria, dia akan diberi ubat Malaria. Amat perlu ubat ini dihabiskan mengikut arahan doktor. Jika tidak penyakit Malaria tidak akan sembuh sepenuhnya. Seseorang yang tidak menghabiskan ubat Malaria seperti diarahkan, beliau mungkin boleh dijangkiti semula kerana parasit Malaria tidak mati sepenuhnya di dalam badannya.

Kesan Demam Malaria

Kuman Malaria yang memasuki badan manusia akan hidup di dalam darah mereka. Kuman ini akan menyerang sel-sel darah merah dan menjangkiti otak, buah pinggang, paru-paru serta limpa pesakit. Jika tidak dirawat atau tidak mendapat rawatan sepenuhnya, pesakit Malaria akan mengalami :

• Kekurangan darah terutama di kalangan kanak-kanak dan ibu mengandung.
• Kegagalan fungsi buah pinggang.
• Jangkitan bahagian otak.
• Boleh membawa maut.

Pencegahan Demam Malaria

Demam Malaria boleh dicegah melalui :

• Tidur di dalam kelambu.
• Menggunakan ubat nyamuk atau racun serangga pembunuh nyamuk.
• Menggunakan jaring nyamuk di jendela rumah.
• Dapatkan perkhidmatan semburan DDT bagi membunuh nyamuk Tiruk.

Demam Malaria boleh dicegah dan dirawat. Setiap individu perlu tahu tandatanda dan cara-cara mencegah penyakit Malaria.




Senarai Rujukan
-http://www.who.int/topics/malaria/en/
-http://www.webmd.com/a-to-z-guides/malaria-topic-overview
-http://www.medicalnewstoday.com/articles/150670.php
-http://www.cdc.gov/malaria/